Monday, July 25, 2011

Terbanglah Duhai Rerama

"Sejak mula kerja ni macam mana hidup kau?"

"Biasa saja. Pagi keluar pergi kerja, petang balik kerja, malamnya makan dan rehat."

"5 hari seminggu itu rutin kau? Tak bosan ke, bro?"

"Apa lagi boleh buat? Malam of course nak rehat, esok nak kerja lagi."

"Hujung minggu buat apa?"

"Haha. Kau tanya macam lah kau tak kenal aku. Macam belajar dulu juga la. Lepas Subuh, tidur puas-puas. Kalau tak keluar ke mana-mana, layan movie atau k-drama lah. bro"

Soalannya : Jika ini ialah rutin anda, selesakah begini?

Menjadi Ulat Lebih Bahagia?

Di sebuah tasik, tinggallah satu populasi ulat pemakan daun. Ulat-ulat ini begitu bahagia berkawan dan menjamu daun-daun hijau dari pokok-pokok kecil di sekitar tasik itu. Tidak sekalipun mereka terfikir untuk meninggalkan tasik itu, berhijrah ke kawasan lain, merasai enaknya daun-daun lain. Mereka takut, apa yang mereka ada sekarang adalah yang terbaik dan tidak ada di mana-mana tempat lain. Sayang sebab takut!

Sesekali, mereka bersedih bila ada antara mereka yang memanjat pada batang bunga lili, dan hilang tidak muncul lagi. Mereka faham benar, bila ini terjadi, kawan-kawan mereka telah tiada, mati dan hilang entah ke mana!

Suatu hari, seekor ulat teringin memanjat batang bunga lili tersebut. Desakan dalamannya kuat, bagaimanapun dirinya pernah diingatkan agar tidak sekali-kali berbuat begitu. Nekad, si ulat akan memanjat batang pokok lili tersebut, dan ia berjanji pada dirinya untuk kembali kepada kawan-kawannya di sini.

Sampai di puncak batang bunga lili, si ulat ini kepenatan. Hangat mentari betul-betul membuatnya mengantuk. Si ulat mahu tidur sebentar. Ketika si ulat sedang tidur, badannya berubah. Bila si ulat ini bangun, ia melihat badannya tidak lagi seperti dulu, malah mempunyai sepasang sayap yang cantik.

Terbanglah Duhai Rerama!

Si ulat itu tadi kini adalah seekor rama-rama. Dia kini boleh terbang! Sedang ia terbang, ia merasakan apa yang dilihatnya kini sebenarnya jauh lebih membahagiakan, berbanding hanya hidup memakan daun sahaja sebelum ini.

Terbanglah, sayang!

Keluarlah dari Kepompong Selesa

Ayuh, keluarlah dari kepompong selesa kita. Hidup ini terlalu indah untuk dijalani dengan rutin yang sama. Jalanilah dengan indah!

Hidup ini adalah tanggungjawab. Sesekali, pandanglah ke kiri dan ke kanan kita. Apakah kita tidak punya tanggungjawab lain selain apa yang kita ada sekarang? Apakah kita tidak akan dipertangungjawabkan di atas semua (kelalaian) ini?

Sesungguhnya, kita semua adalah pemimpin, bukan? Dan pastinya kita akan ditanya tentang semua ini, tentang bagaimana kita menjalani hidup. Hiduplah untuk kekal hidup. ^_^

Dipetik dari: iluvislam.com